HOME ABOUT ME MY eSHOP MY SHOPEE FACEBOOK YOUTUBE RESEPI CONTACT US

Aku Maafkan Dia...


- 28 Januari 2013 -

Dunia ni berputar,
tiba-tiba teringat seseorang...




Satu persatu kenangan menerjah minda. Setiap satu saling berkait. Puas Aku fikirkan perkaitannya. Letih. Akhirnya Aku dapat jawapannya. Tak pasti jika itu adalah jawapan yang betul untuk semua kenangan dan persoalan yang menyesakkan fikiran..

Seseorang. Suatu ketika dulu dia adalah antara mereka yang sangat rapat dengan Aku. Seiring dengan masa berlalu, banyak perkara telah berlaku. Suatu masa, terjadi peristiwa yang membuatkan hubungan kami menjadi renggang. Aku tak pernah bersangka buruk dengannya apalagi mengutuk dia kepada orang lain. Sebaliknya itu yang dia lakukan pada Aku. Itupun hanya setelah beberapa tahun baru Aku tahu perbuatannya. Terluka. Rasa marah. Aku berikan dia susu, dibalasnya dengan tuba! Terus Aku menjauhkan diri.

Sehingga suatu hari Aku menerima kabar dia kemalangan jalanraya dan meninggal dunia di tempat kejadian. Saat dikabarkan berita tu, semua kenangan dengannya bermain di minda. Tersenyum, itu kenangan indah. Senyuman itu hilang bila kenangan pahit melintas ingatan. Ketika kali terakhir kami bersua, dia begitu angkuh. Tidak bersalaman dengan Aku apalagi menegur. Beredar meninggalkan Aku dan yang lain dengan pandangan yang penuh kebencian. Dia terlalu menunjukkan rasanya pada semua yang ada..

Saat mendapat kabar dia kemalangan, Aku tak tahu apa yang patut Aku rasa. Sedikit sedih bercampur rasa marah bila teringat perbuatannya. Aku teragak-agak untuk pergi melihat dia kali terakhir. Dipaksa, akhirnya Aku mengalah dan pergi juga. Saat kaum keluarganya meminta ampun dan maaf bagi pihaknya serta minta dihalalkan segala hutang-hutangnya, Aku memalingkan muka dan terus beredar. Sungguh pada masa tu rasa marah masih menebal, tak pernah berkurang atau hilang. Dia pergi tanpa membersihkan nama Aku dan membetulkan keadaan. Macam mana Aku mahu memaafkan?

Sesuatu menggangu Aku selepas dia pergi. Aku kerap mimpikan dia. Menangis dengan wajah sayu memandang Aku. Pada mulanya Aku tak berasa apa-apa yang aneh. Tapi lama kelamaan mimpi itu makin menjadi-jadi. Betul-betul rasa terganggu. Sangat. Ada apa sehingga Aku selalu mimpikan dia? Gelisah. Seolah-olah ada sesuatu yang dia inginkan dari Aku.

Aku mengadu pada emak. Akhirnya terbuka cerita yang Aku simpan lama dulu. Aku beritahu apa yang terjadi antara kami. Emak menyarankan Aku “Yang dah lepas tu biar la.. Dia pun dah tak ada.. Halalkan semua hutang-hutang dia.. Maafkan semua yang dia dah buat pada kakak.. Lapangkan dada tu, buang rasa dendam yang ada dalam hati tu..” Aku terkedu dengan penjelasan emak. Entah kenapa Aku berasa saranan emak begitu payah untuk dilakukan… Aku hanya membalas “Ok, akak maafkan” tanpa sekelumit keiklasan.

Hampir 2 tahun dia datang dalam mimpi Aku. Melambai-lambai dengan wajah sayu serta menangis. Kadangkala mimpi tu menakutkan Aku. Pernah Aku keluarkan gambarnya dari album dan bertanya “Apa yang kau nak dari Aku?” Sungguh Aku tertekan dan rasa terganggu. Sampai suatu hari Aku terbaca satu artikel tentang kemaafan. Tersedar. Baru Aku faham kenapa… Semua tu berpunca dari Aku sendiri..

Aku menangis.. Selepas solat dan berdoa, Aku bercakap sendirian. “Ya Allah, Aku maafkan segala perbuatan arwah padaku dulu.. Aku ikhlas maafkan dia.. Aku halalkan juga semua hutang-hutangnya pada Aku.. Hilangkanlah segala rasa marah dan dendam pada arwah yang ada dalam hati ini.. Semoga dia tenang di sana..” Alhamdulillah… Malam tu Aku bermimpi arwah memandang Aku sambil tersenyum. Selepas mimpi tu Aku tak pernah lagi mimpikan arwah..

Timbul pula persoalan lain diminda..

Persoalan yang menggusarkan hati Aku. Bagaimana dengan Aku sendiri kelak?

Tiada ulasan :

;