- 30 Oktober 2013 -
Kebosanan. Merewang dari satu blog ke satu blog. Terjumpa tulisan '11 RAHSIA ANAK MENJADI HEBAT'. Info yang menarik buat ibubapa untuk dijadikan rujukan berkaitan perkembangan anak-anak. Maka Aku salin dan kongsikan di blog tyara NY untuk kemudahan rujukan sendiri dan kepada umum. Terima kasih kepada SUMBER.
RAHSIA PERTAMA : ANAK HEBAT PUNYA MATLAMAT YANG JELAS dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya itu. Apabila ditanya apa cita-citanya apabila dewasa nanti, anak hebat boleh berikan jawapan dengan pasti akan cita-citanya itu. MATLAMATNYA CUKUP JELAS. Malah dia tahu kenapa dia mahu mencapai cita-citanya itu dan untuk apa. Dia yakin bahawa hanya faktor masa sahaja yang menghalangnya mencapai cita-citanya sekarang. Namun suatu hari nanti, IA PASTI MENJADI KENYATAAN.
RAHSIA KEDUA : ANAK HEBAT PENTINGKAN PELAJARANNYA. Dia tahu hanya pelajaran sahaja yang membolehkannya mencapai semua cita-citanya. Sebab itulah anak hebat sentiasa memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan dan mengulangkaji pelajarannya. Malah anak hebat menyertai program motivasi luar biasa bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajarnya.
RAHSIA KETIGA : Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan memita bantuan bagi mengatasi kekurangannya itu. Anak hebat sedar bahawa tidak semua orang tahu semua perkara. Dia juga sedar bahawa setiap orang memiliki kehebatan, bakat serta kebolehan yang berbeza-beza. Menyedari akan perkara ini, maka ANAK HEBAT SENTIASA MENCARI BANTUAN BAGI MENGATASI setiap kelemahannya itu.
RAHSIA KEEMPAT : Anak hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang. MEREKA HORMAT KEDUA IBU BAPANYA dan sentiasa dengan akan nasihatnnya. Anak hebat sentiasa berusaha menyenangkan dan menggembirakan keduanya. Anak hebat juga sentiasa membantu dan mesra dengan adik beradiknya. Dia juga disenangi oleh rakan-rakannya dan sentiasa menolong mereka samada dalam pelajaran atau urusan hariannya. Anak hebat sentiasa dipuji oleh guru-gurunya dan menjadi ayam tambatan di sekolahnya. Dia juga sentiasa boleh diharapakan dalam apu juga urusan dan sentiasa bersedia untuk membantu.
RAHSIA KELIMA : ANAK HEBAT SENTIASA MUHASABAH TINDAK TANDUKNYA dan memantau prestasi pencapaiannya. DIA TIDAK MEMBIARKAN KEMAJUANNYA TERBANTUT. Dia tahu dimana dia berada samada semakin hampir atau masih jauh dari sasarannya. Apabila dia dapati sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasinya lalu dia ambil tindakan yang proaktif dan melakukannya tanpa menunggu disuruh, diarah atau ditegur.
RAHSIA KEENAM : ANAK HEBAT SENTIASA LAKUKAN YANG TERBAIK DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH dalam apa jua perkara. Bagi seorang anak hebat tiada pekerjaan yang main-main dalam falsafah hidupnya. Apa sahaja yang perlu dilakukannya maka dibuat sebaik mungkin.
RAHSIA KETUJUH : ANAK HEBAT ISTIQAMAH DALAM USAHANYA. Anak hebat percaya kejayaan besar yang mahu dicapainya esok hari adalah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diperolehinya setiap hari. Oleh itu, dia sentiasa istiqamah. Dia bukan seorang yang hari ini rajin esok tidak atau hari ini buat sikit esok banyak. Sebaliknya dia membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tersebut tanpa bosan atau jemu.
RAHSIA KELAPAN : Anak hebat sentiasa belajar dari orang lain dan suka hadiri pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya. Anak hebat mempunyai mentor atau model ikutan. Dia belajar dari mentornya dan lakukan apa yang model ikutannya lakukan. Dia tahu bahawa kejayaan yang mahu dicapainya itu telah pernah dicapai oleh orang lain. Sebab itulah mereka ikuti pelbagai program bagi mengetahui apa orang hebat lakukan dan meniru perlakuan tersebut.
RAHSIA KESEMBILAN : ANAK HEBAT SENTIASA INGAT ALLAH. Anak hebat tahu manusia ini hanya mampu berusaha tetapi Allah lah yang akan menentukan segalanya. Dia juga tahu jika dirinya engkar akan perintah Allah, bergelumang dengan dosa dan maksiat maka Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya. Sebab itulah ANAK HEBAT MENJAGA SOLAT LIMA WAKTUNYA, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-quran setiap hari, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, ada amalan-amalan doa hariannya dan basah lidah serta hatinya dengan zikir.
RAHSIA KESEPULUH : ANAK HEBAT TIDAK PERNAH SOMBONG DENGAN APA YANG DICAPAI ATAU DIPEROLEHINYA. Dia sentiasa bersyukur apabila mencapai kejayaan dan kecemerlangan dan berkongsi kegembiraannya dengan mereka yang ada disekelilingnya. Anak hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada. Dia tahu sifat sombong hanya akan merosakkan akhlak dan amalannya. Dia berterima kasih kepada semua orang setiap kali beroleh kejayaan. Padanya apa juga kejayaan yang diperolehinya itu adalah kejayaan mereka yang sentiasa bersama-sama dengannya.
RAHSIA KESEBELAS : ANAK HEBAT SEDAR BAHAWA HANYA DIA YANG BOLEH TOLONG DIRINYA bukannya orang lain. Anak hebat tahu bahawa orang lain boleh membantu sedikit sahaja tetapi dirinyalah yang akan membawanya ke puncak jaya. Kalau tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru. Itu pun setelah diri sendiri berusaha memahami dan menyelesaikannya dahulu. Bukan serahkan semua perkara bulat-bulat pada guru atau meminta bantuan penuh dari rakan.
No comments :
Post a Comment